TOK SELEHOR
(1871-1935)
TOK SELEHOR
adalah seorang ulama’ yang telah memasyhurkan nama sebuah
kampung pedalaman di jajahan Tumpat kerana ilmu pengetahuan yang
disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di
Kampung Selehor (Kini
kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir).
Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk
tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja,
Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu.
Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali
sebagai ulamak'
lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan.
Mereka ialah Tok Selehor (1871-1935)
dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok
Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari
Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang.
Pengenalan
Nama
penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik.
Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, (di kawasan pondok
Selehor) di pinggir
Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun
1871*. Beliau
diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai
Selehor yang tenang dan masam kelat.(Sedikit berasid)
Pada
zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu
perkara yang amat mustahak.
Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 juzuk itu
dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat
pasangan. Bagi Tok
Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran
yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran
dengan bapanya sendiri.
Belajar di Patani
Ayah
Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar
supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya
anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar
kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia
meninggal dunia. Kerana
hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di
Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek.
Tidak lama di sini, beliau menyambung pelajarannya ke
Patani.
Di
sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala
Bekah. Tetapi oleh
kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab
dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah
politik di Selatan Thai. Beliau
menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji
Abdullah Bendang Jong. Tok
Selehor belajar di Patani selama kira-kira tujuh tahun. Demikian
dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok
Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid
Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun.
Semasa
belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan
dengan berjalan kaki. Sepanjang
perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan
penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain
kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris.
Minat Dalam Sastera
Minatnya
kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok
Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama
berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan
sebagainya. Beliau
pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu.
Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat
menarik minat umum untuk mendengar
kemerduan irama suaranya ketika bersyair.
Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair
tetapi juga pandai mengarang syair.
Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu
tiada sesiapa yang dapat menandinginya.
Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu,
namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang
syair romantis. Lantaran
syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami
kembali berdamai setelah menerima surat syair yang
ditulis oleh Tok Selehor. Antara
syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru
Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung
Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada
Kampung Kok Pasir).
Tiap-tiap
malam kanda bermimpi
Adinda di tengah
kanda di tepi
Menghisap rokok
meminum kopi
Memeluk tengkuk
mencium pipi.
Sedap rasanya
tiada terperi
Harum baunya
umpama kasturi
Suka dan hilai
senang di hati
Kasih mesra
sehingga mati.
Kahwin dan ke Mekah
Ketika
masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita
pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi
perkahwinan itu
langsung tidak
menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau
belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad,
Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.
Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung
pelajarannya di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.
Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah
Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan
Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa
Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan
penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok
Kenali maka Tok Kenali telah
memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.
Ketika
berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah
binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu.
Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah.
Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti
Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan
kecantikannya pada ketika itu. Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor
telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah
isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan
ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad)
Manakala anak
perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.
Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj.
Umar dari Penambang Kota Bharu.
Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti
Che Man dan hasil
daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak
perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji
Awang Jal.
Membuka Pondok
Setelah
kembali dari mekah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai
Selehor, dipercayai pada tahun 1340H.
Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor
berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada
pelajar dari dalam dan luar negeri.
Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja terdiri daripada anak tempatan , tetapi juga mereka yang
datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang,
Jawa, Siak dan sebagainya.
Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor
telah mengali sebuah telaga besar pada tahun 1343H.
Sehingga kini ( November 1999) telaga itu masih wujud
dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.
Mengajar
Tok Selehor
mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan,
tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf.
Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling
disukai diajarkan kepada muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab
ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada
Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong,
hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.
Tok
Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para
pendengarnya. Pengajarannya
tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali.
Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah
mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat
menandingi pengajaran Tok Selehor."
Ketika
membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan
begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya
yang menanggis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu.
Pada setiap hari Selasa Tok Selehor mengajar untuk
mesyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia
datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun
berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok
Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan
dan panas terik.
Kebanyakan
orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari
Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan,
Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor
menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu.
Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul
Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga
seorang murid Tok Selehor.
Selain
daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar
di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar
menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu.
Di Wakaf Bharu tidak kurang juga
ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok
Selehor.
Tok
Selehor juga suka
membaca kisah Isra dan Mi'raj.
Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan
orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa
memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang
mambaca Isra' dan Mi'raj itu.
Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok
Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahayang kepada
sembahayang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari
seorang yang nakal kepada seorang yang insaf.
Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan
pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama
sekali.
Perayaan Maulid al-Nabi
Tok
selehor pernah mengadakan perayaan maulid al-Nabi secara
besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori
perayaan seperti itu. Berzanji
dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan.
Pernah beribu-ribu orang datang ke majlis perayaan maulid
anjurannya. Hal ini
pernah dikritik oleh akhbar-akhbar di zaman itu, tetapi beliau
tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat
kepada nabi yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara ini
anak-anak pondok lebih cepat bermera dengan ajaaran Nabi dari
hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.
Kegemarannya
Tok
Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar
kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik,
dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang
merdu dan panjang). Selain itu hobinya
ialah suka memburu rusa dan memukat ikan.
Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan
sebagainya. Istimewanya
ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di
sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.
Bersuluk
Tok
Selehor adalah seorang yang Zahid dan Wara'.
Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu
dipuja dan takut menjadi ria.
Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur
Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat.
Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga
ke hari ini. Hj.
Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata
kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati
menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati.
“Inilah
sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan
diri kepada mati ialah dengan
berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur
dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang
diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat
bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.”
Kawan Baik Tok Kenali
Tok
Selehor adalah
kawan baik Tok kenali. Sebab
itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka
mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan
Islam. Tok Kenali
mengelarnya sebagai "Penyair Kita".
Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su
Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat
kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor
pada tahun 1933M.
Tok
Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali
tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi.
Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan
Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid,
wara, dan tawadhu; tidak banyak bercakap sia-sia dan suka
beribadat.
Berburu di Tempat Puaka
Pada
suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa
sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada
kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang
dianggap berpuaka. Tok
Selehor tidak takut sedikitpun.
Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa.
Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika
itulah rusa dapat
ditembak dan disembelih. Sebab
itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa.
Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain
dan Encik Mamat bin Senik, Selehor.
Yu Besar
di Pengkalannya
Selepas
tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar
yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan
timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor.
Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor,
kemudian keluar semula ke laut
. Dua hari kemudian datang
kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai
hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah
maksudnya.
Beberapa
hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun
diubati tidak juga sembuh.
Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah
1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun
meninggal dunia dalam usia 64 tahun.
(Pengasuh bil 459 ).
*******
TULISAN :
USTAZ ISMAIL
AWANG (Allahyarham) - Sila Rujuk Link
Tokoh
PENYUNTING:
DATO' HAJI DUSUKI AHMAD - Sila Rujuk Link
Tokoh
DISESUAIKAN
UNTUK LAMAN WEB: EDIRAMLE
ISMAIL edi@geek.com
Laman Web :
http://kokpasir.bebto.com
e-mel :
kokpasir@softhome.net
|